Thursday, 23 August 2012

PRINSIP PENGAKAP KELANA


PRINSIP PENGAKAP KELANA

Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) adalah sebuah badan sukarela yang diperbadankan di bawah Akta Parlimen 38, 1968, Akta (Perbadanan) Persekutuan Pengakap Malaysia. PPM terbuka kepada semua tanpa mengambil kira perbezaan agama, bangsa atau kepercayaan, dalam erti kata bersesuaian dengan prinsip dan pegangan yang diutarakan oleh pengasasnya, Lord Baden-Powell.

Pengakap Kelana bukan sahaja satu program yang meluas dan berfaedah, tetapi ia adalah jalan kehidupan yang lebih sihat. Matlamat Persekutuan Pengakap Malaysia adalah untuk membina semangat kerakyatan dan menggalakkan pembangunan fizikal, mental, sosial dan semangat golongan muda supaya mereka dapat memperoleh kedudukan yang baik sebagai anggota masyarakat tempatan, kebangsaan dan juga antarabangsa. Pengakap Kelana cuba untuk membantu mengenali peranan yang boleh dimainkan dalam masyarakat. Ia juga menggalakkan ahlinya untuk menjadi jujur pada diri sendiri dan turut bertanggungjawab kepada dunia sekeliling.

Dasar Pengakap adalah sebagaimana yang telah diperkenalkan oleh pengasasnya, iaitu PENGAKAP harus berkhidmat demi Tuhan, bertindak dengan mengambil kira apa yang perlu dan menggunakan kebolehan untuk kebaikan diri sendiri dan keluarga, serta masyarakat di mana mereka tinggal. Terdapat tiga prinsip yang dijelaskan daripada kod yang dipimpin di mana sifat-sifat ahli dalam gerakan adalah berpandukan kepada: kewajipan kepada Tuhan; kewajipan kepada semua; dan kewajipan kepada diri sendiri.

Gerakan Pengakap Kelana adalah bahagian dewasa di mana ia adalah satu proses eksplorasi diri di dalam penyesuaian dengan tujuan serta prinsip gerakan. Dasar ini dibentuk dalam Persetiaan Pengakap dan Undang-Undang Pengakap.
Untuk menjadi seorang Pengakap Kelana, Persetiaan Pengakap
hendaklah dilaksanakan. Apabila membuat sesuatu, Pengakap Kelana hendaklah menyumbangkan kepada dasar ini. Walau bagaimanapun, Pengakap Kelana bukanlah bersifat keagamaan. Ia memberi galakan untuk membuat sesuatu kerja dengan idea sendiri dan konsep ketuhanan masing-masing, di dalam erti kata yang luas tentang Persetiaan dan Undang-undang Pengakap supaya idea itu dapat dijadikan suatu tindakan.

Selain daripada itu, Program Latihan Pengakap Kelana wujud untuk mengukuhkan dasar pergerakan Persekutuan Pengakap Malaysia agar ia selari dengan dasar dan aspirasi Negara Malaysia. Rukun Negara telah dijadikan sebagai panduan dan pedoman yang dipegang selari bersama-sama dasar, tujuan dan prinsip berpengakap.

Rukun Negara
MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan


Persetiaan Pengakap

Bahawa dengan sesungguhnya, saya berjanji dan bersetia yang saya dengan seberapa daya upaya saya akan:
Taat kepada Tuhan, Raja dan Negara
Menolong orang pada setiap masa
Menurut Undang-Undang Pengakap


Undang-Undang Pengakap

1.    Pengakap adalah seorang yang sentiasa dipercayai maruah dan kehormatan dirinya.

2.    Pengakap adalah seorang yang taat kepada Yang diPertuan Agong serta
Raja-Raja dan kepada pemimpin-pemimpin Pengakap, ibu
bapanya, majikannya dan orang-orang di bawahnya.

3.    Pengakap wajib menjadikan dirinya berguna dan menolong orang pada setiap masa.

4.    Pengakap adalah sahabat kepada sekalian orang dan saudara kepada Pengakap lain walau apa negeri, pangkat dan agamanya sekalipun.

5.    Pengakap adalah seorang yang baik dan sempurna budi pekertinya dan sentiasa berbudi.

6.    Pengakap adalah baik dan kasih kepada segala binatang.

7.    Pengakap adalah seorang yang sentiasa menurut perintah dan suruhan ibu bapanya, Ketua Patrolnya atau Pemimpin-pemimpin Pengakapnya tanpa apa-apa soalan.

8.    Pengakap adalah seorang yang sentiasa sabar dan manis air mukanya walau dalam masa kesusahan.

9.    Pengakap adalah jimat dan cermat.

10.  Pengakap adalah bersih dan suci fikirannya, perkataannya dan perbuatannya.